Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

SAAT KEHILANGAN ANAK TUNGGAL SECARA MENGEJUT: BAGAIMANA SEORANG IBU MENGHADAPI KESAKITAN INI?

Ingat tidak waktu kecil dulu? Ibu adalah insan yang paling sibuk menjaga dan menguruskan kita.

Kalau boleh, janganlah kita terluka walau segaris pun. Itu sudah cukup membuatkan ibu cemas dan susah hati. Kalau boleh, janganlah kita jatuh sakit. Hatinya tidak akan tenang selagi anaknya tidak sembuh.

Semut yang lalu ditepis, nyamuk yang hinggap ditampar. Makanan sentiasa terhidang agar kita tidak lapar. Nasihat tidak pernah putus agar kita beringat. Begitulah kasih seorang ibu; menyayangi dan melindungi agar kita sentiasa aman dan selamat.

Bayangkan, jika ibu ini diuji dengan kehilangan anak secara mengejut? Apatah lagi itu adalah anak tunggal, satu-satunya yang dia ada. Yang dia telah tumpahkan seluruh kasih sayang dan perhatian. Yang dia telah korbankan seluruh kudrat dan tenaga. Anak yang menjadi harapan, telah pergi buat selamanya.

Sesaat, dunianya runtuh. Kebahagiaannya ranap. Kesempurnaan dirinya sebagai seorang ibu direntap. Kesakitan itu tidak terbayangkan. Tentunya, dia belum bersedia dengan kehilangan ini.

Sukar untuk membayangkan perjalanan kehidupannya di masa hadapan. Namun, sama ada mahu atau tidak, suka atau tidak, dia perlu teruskan hidup tetapi bagaimana caranya?

Artikel ini membincangkan secara ringkas dilema emosi, cabaran mental dan cara perlahan-lahan mencari kekuatan selepas kehilangan anak tunggal secara mengejut.

Kesakitan Seorang Ibu Saat Kehilangan Anak Tunggal Secara Mengejut

Kehilangan anak tunggal ini membawa satu dimensi kesedihan yang berbeza dan mendalam. Dia sedar dia kehilangan satu-satunya pewaris untuk menyambung legasi keluarga. Dalam sekelip mata sahaja seluruh hidupnya berubah, meninggalkan ibu ini dalam keheningan yang menyakitkan.

1. Kejutan dan Ketidakpercayaan: “Ini Tidak Mungkin Berlaku”

“Tidak, ini tidak benar! Apa ni?”.

Si ibu kaget. Telinganya berdesing. Kepalanya berpusing. Denyutan jantung bertukar ke fasa laju. Tangan menggeletar. Lutut terasa goyah. Badan mula seram sejuk. Nafas menjadi pendek-pendek.

Si ibu dalam keadaan ‘denial’. Dia menolak untuk menerima kenyataan atau enggan mengakui perasaan kerana tidak mahu berhadapan dengan realiti tersebut. ‘Shock mode’ akan membuatkan si ibu ini tidak dapat berfikir atau bertindak dengan jelas buat sementara waktu. Rasa seperti terawang-awang.

Dilema emosi yang saling bertentangan ini meletakkan si ibu dalam kebingungan dan rasa tidak percaya.

2. Rasa Kosong dan Kehilangan Makna Hidup

Ada yang tanpa sedar menyebut nama anak kerana terbiasa memanggilnya. Ada yang masuk ke bilik anak kerana lazim mengejutkannya. Ada yang bangun pagi untuk menyiapkan keperluan anak, hanya untuk tersedar bahawa si anak sudah tiada.

Rutin harian menjadi peringatan yang paling menyakitkan. Kebiasaan itulah yang menjebak si ibu dalam kesedihan yang berpanjangan dan ia sukar untuk diubah dalam sekelip mata.

Memegang barang-barang anak yang masih ada, memandang seluruh rumah yang sarat kenangan bersamanya, semua itu membuatkan luka semakin dalam. Tiada lagi gurauan dan usikan yang menggembirakan hari-hari si ibu. Tiada lagi keletah si anak yang menjadi hiburan hati ibu. Semuanya kosong seperti hidup di dalam kolong.

Soalan yang berulang dalam fikiran:

“Apa lagi yang tinggal untuk aku sekarang?”.

Si ibu bukan sekadar merasakan kehilangan makna hidup tetapi kehilangan identitinya sebagai seorang ibu.

3. Rasa Bersalah dan Soalan Yang Tidak Berhenti

Pemergian anak secara mengejut ini akan mencetus rasa ingin tahu atau mencari punca tragedi. Disebabkan tidak mahu menyalahkan keadaan atau orang lain, si ibu cenderung menyalahkan diri sendiri. Ia satu perasaan yang mungkin timbul bila si ibu berasa bahawa dia gagal melindungi anak ataupun tidak melakukan lebih banyak untuk anak.

Meskipun seiring dengan masa dia boleh menerima pemergian anak tunggalnya, rasa bersalah itu tidak akan hilang dengan mudah. Persoalan dalam kepalanya tidak akan berhenti. Selagi tidak berjawab, soalan-soalan itu akan datang dan pergi, silih berganti.

Begitulah naluri keibuan.

Setiap memori menjadi bahan fikir; mencari-cari kesalahan sendiri dalam hal-hal kecil. Dia merasakan seolah-olah dia yang bertanggungjawab di atas apa yang telah terjadi sedangkan itu adalah takdir yang tertulis, yang tidak akan lambat atau cepat walaupun sesaat. 

Cabaran Emosi dan Tekanan Sosial Seorang Ibu Tanpa Anak

Dalam kehidupan, setiap peristiwa saling berkait melalui kausalitas, di mana satu kejadian menjadi sebab kepada akibat yang lain.

Begitu juga dengan kehilangan anak tunggal yang tentunya menjadi satu pengalaman traumatik buat seorang ibu. Pemergian si anak menjadi titik mula cabaran emosi dan tekanan sosial yang si ibu akan hadapi, membentuk perjalanan yang penuh ujian serta proses pemulihan yang panjang.

1. Tubuh dan Minda Mengalami Tekanan Melampau

Kesedihan yang dalam dan berpanjangan boleh menjadi trauma fizikal kerana tubuh dan minda saling berkaitan. Ini adalah beberapa cara kesedihan boleh menjadi trauma kepada tubuh:

  • Peningkatan hormon stres seperti kortisol dan adrenalin yang boleh melemahkan sistem imun, menjadikan seseorang lebih mudah jatuh sakit. Lonjakan hormon stres juga boleh melemahkan otot jantung yang menyebabkan sesak nafas, dada berat atau risiko kegagalan jantung.
  • Masalah gangguan tidur seperti insomnia ataupun tidur berlebihan, keletihan melampau, masalah ingatan dan hilang tumpuan.
  • Sakit fizikal dan ketegangan otot seperti sakit kepala atau migrain, sakit kepala, leher atau belakang serta sakit dada yang boleh menyerupai serangan jantung.
  • Hilang selera makan atau makan berlebihan dan timbulnya masalah pencernaan
  • Perubahan dalam otak iaitu mengecilkan hippocampus (bahagian otak yang mengawal ingatan dan emosi), meningkatkan aktiviti amigdala (bahagian otak yang mengawal rasa takut dan kebimbangan) dan mengurangkan serotonin dan dopamine menyebabkan kemurungan yang lebih teruk.

Bersedih adalah reaksi normal apabila kita berhadapan dengan kehilangan. Ia adalah emosi yang wujud dalam diri kita tetapi kesedihan yang berlarutan akan memberi impak besar kepada tubuh.

Penampilan akan berubah menjadi muram dan tidak terurus. Tubuh badan yang dulunya sihat dan bugar menjadi kusam dan cengkung. Impak terhadap tubuh ini akan mempengaruhi dalaman juga seperti rasa rendah diri dan tidak dihargai.

2. Perasaan Hilang Identiti dan Tidak Dihargai

Kehilangan anak tunggal bermakna kehilangan identiti sebagai seorang ibu. 

Setelah sekian lama menggalas peranan menjaga, membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak, kehilangan tersebut akan membuatkannya rasa kosong dan tidak dihargai. Dia rasa terasing daripada dunia yang pernah sibuk dengan urusan anak.

Selama ini hidupnya berpusat pada kebahagiaan dan kesejahteraan anak tetapi setelah anak tiada, si ibu akan mula tertanya-tanya tentang status diri.

“Siapa aku sekarang ni?”.

Jika sebelum ini dia berbangga untuk dikenali sebagai ‘ibu kepada si dia’, kini panggilan itu telah tiada.

Rasa tidak berguna atau tidak dihargai akan mula menyelinap terutama apabila dunia terus bergerak seperti biasa, seolah-olah kesakitannya tidak wujud. Bila dia rasa orang tidak nampak kesedihannya, ketika itulah cabaran emosinya semakin kuat.

3. Cabaran Emosi Seperti Gelombang

Hari semalam telah berlalu. Hari baru akan tetap muncul. Hari akan berganti minggu. Minggu bertukar bulan. Bulan beralih menjadi tahun.

Ibu tetap teruskan hidup walaupun rutin sudah berubah, suasana sudah tidak sama. Ada hari terasa lebih baik dan menganggap dia sudah boleh menerima takdir pemergian anaknya. Ada juga hari di mana kesedihan datang tanpa amaran sehingga terpuruk dan tidak daya melakukan apa-apa pun. 

Ada hari hatinya kuat dan boleh mengemas serta menatap barang kepunyaan anak. Ada juga hari di mana kerinduan datang menyerang, ketika itulah kekuatannya sebagai seorang ibu hilang.

4. Tekanan Sosial

Gelombang emosi ini sesuatu yang sukar untuk dijangka dan ia antara cabaran terbesar untuk seorang ibu hadapi selepas kehilangan anak. Keadaan akan menjadi buruk sekiranya ibu turut berdepan dengan tekanan sosial.

Bukan semua kata-kata manis itu menenangkan. Tidak semua kata-kata semangat itu menguatkan. Kadangkala, kata-kata yang bertujuan memujuk boleh terasa menyakitkan.

Masyarakat sering mendesak seorang ibu perlu segera bangkit setelah kehilangan anak.

“Reda sajalah. Dah takdir.”

“Kena kuat. Hidup kena teruskan juga.”

Kata-kata seperti itu, jika disampaikan dengan cara yang tepat, ia akan menjadi penguat semangat. Jika disampaikan dengan cara yang salah, sekalipun berniat baik, ia boleh membuatkan ibu berasa dipaksa untuk menekan emosinya sebelum benar-benar bersedia untuk bangkit semula.

Kadangkala, masyarakat suka menjadikan situasi ini satu gurauan dengan niat sebagai hiburan tetapi tanpa sedar membenam jati diri si ibu tadi.

“Apa susah. Boleh cuba dapat anak lain nanti.”

Ada juga menambah dengan komentar yang tidak sensitif dan dalam diam ibu ini merasakan kehilangan anaknya dipandang remeh atau kesakitannya tidak difahami.

“Kalau susah sangat, ambil saja anak angkat.”

Untuk senario yang lebih buruk lagi, masyarakat yang memandai-mandai seolah-olah mahu menyusun atur hidup si ibu.

“Kau juallah rumah ni. Cari rumah kecil. Anak pun dah tak ada.”

Andai kita tidak mampu berkata baik, lebih baik jika kita diam. Ada masanya, seeorang yang diuji dengan kehilangan anak ini tidak perlukan nasihat apa pun. Cukup sekadar kita hadir dan menemankan. Saat kita tersenyum, mungkin itu yang melegakan hatinya. Itu sangat membantu untuk dia bertenang sementara mengumpul kekuatan untuk sembuh dan bangkit semula.

Perasaan terasing dalam dirinya sudah cukup menebal. Jangan kita tambah dengan memberi tekanan tidak sewajarnya.

Langkah Perlahan-lahan Mencari Kekuatan dan Menghadapi Kesakitan Ini

Berhadapan dengan ujian kehilangan anak tunggal ini bukanlah semudah yang dipandang mata. Ia adalah satu perjuangan berterusan antara merelakan dan mengingati, antara mahu hidup atau tenggelam dalam kesedihan.

Walaupun luka ini tidak akan pernah benar-benar sembuh, ada jalan untuk mencari kekuatan, satu langkah demi satu langkah.

1. Sedar dan Terima Kesedihan Ini Tidak Perlu Dihapuskan Segera

Akui kesedihan. Jangan dinafikan apa yang sudah terjadi. Jika sedih, menangislah semahunya. Jika rindu, nikmati rasa itu sepuas hati. Jika keliru, luahkan sahaja perasaan. Jika marah, salurkanlah kemarahan itu mengikut cara yang betul. 

Masa bukanlah penawar duka sepenuhnya tetapi bersama masa, belajarlah untuk menerima setiap perasaan yang datang. Nikmati. Hadapi. Lalui.

2. Jangan Pura-pura Kuat

Jangan paksa diri untuk pulih dengan segera. Kesedihan itu perlu dirasai, bukan ditekan atau disembunyikan hanya kerana orang sekeliling mahu anda nampak kuat.

3. Fahami Diri Sendiri

Anda tidak perlukan pengesahan orang sekeliling tentang ujian yang sedang anda hadapi. Anda diuji kerana anda layak, anda mampu dan anda unik. Anda pasti ada kekuatan tersendiri yang membuatkan anda boleh bangkit semula daripada kesedihan.

4. Hadkan Interaksi

Tidak semua orang akan memahami kesedihan yang anda tanggung. Berinteraksi hanya dengan mereka yang anda yakin benar-benar ikhlas memberi sokongan emosi kepada anda.

5. Sayangi Diri

Belajarlah menunjukkan penghargaan terhadap diri sendiri. Ini termasuklah:

  • Menerima diri seadanya dan jangan bandingkan dengan sesiapa pun
  • Menjaga kesejahteraan fizikal, emosi dan mental
  • Memberi perhatian kepada keperluan dan batasan diri
  • Memaafkan dan tidak menyalahkan diri sendiri
  • Menerima dengan ikhlas setiap takdir yang telah ditentukan
  • Memperbaiki diri
  • Manfaatkan diri sebaiknya

6. Izinkan Diri Untuk Bahagia Semula

Jangan rasa bersalah jika anda mahu meneruskan rutin kehidupan seperti biasa setelah anak tiada. Urusannya telah selesai di dunia tetapi anda masih ada kehidupan untuk dilalui. Anda masih ada pasangan, keluarga dan kenalan. Rasa bahagia bukan bermakna anda melupakan tetapi tanda anda mensyukuri ujian yang sedang anda lalui.

7. Ingati Anak Dengan Cara Positif

Menulis adalah cara terbaik mengenang kebaikan anak.  Pengalaman yang dikongsi, ilmu yang disampaikan mungkin dapat memberi manfaat kepada mereka yang sedang melalui fasa sama.

Anda boleh terus menyokong minat anak dengan menyokong sahabat-sahabat anak yang mempunyai minat sama. Ataupun, perbanyakkanlah amal jariah atas namanya kerana itulah tanda cinta dan kasih anda yang tidak berbelah bagi.

Kesedihan bukan tanda anda lemah. Setiap ibu berhak memproses perasaan sedihnya dengan cara dan tempohnya sendiri, tanpa tekanan daripada sesiapa. Setiap ibu ada kekuatannya tersendiri yang mungkin hanya disedari ketika melalui ujian kehilangan anak. 

Tidak ada kayu ukur yang boleh menjadi penanda aras bilakah anda akan sembuh sepenuhnya. Perjalanan pemulihan diri dan emosi adalah panjang tetapi ianya bernilai untuk anda lalui sebaik mungkin.

Langkah-langkah yang anda ambil untuk pulih dan mencari kekuatan adalah tanda cinta yang tidak pernah padam buat anak. Anda tahu anda perlu kuat untuk terus mendoakannya dan berterusan melakukan kebaikan atas namanya.

Jangan ragu untuk mencari sokongan sama ada daripada keluarga, sahabat atau pakar kerana setiap ibu berhak mendapat ruang untuk berduka dan pulih. Suatu hari nanti, rasa kehilangan itu akan digantikan dengan rasa damai dan ketenangan.


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading