Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Tiga hari dua malam.

Satu kesempatan yang ada had. Satu garis masa yang singkat untuk Ummi dan Ayah Qayyim luangkannya bersama opah Qayyim.

Hanya kami bertiga, menyusur masa bersama. Tenang dalam dunia yang hanya kami faham.

Dunia setelah kehilangan.

Ini kali pertama opah Qayyim singgah dan menginap di Raudhatul Qayyimi – teduhan yang Ummi Ayah diami sepenuhnya, setahun setelah pemergian Qayyim.

Kami sarapan bersama. Kami ziarah Qayyim bersama. Dan Ummi luang masa berbual, meluah rasa bersama opah di dalam bilik Qayyim.

Kami berdua.

Opah tenang tetapi Ummi yang tak henti turun air mata.

Ummi menantu pertama.

Sudah 27 tahun Ummi dan Ayah Qayyim hidup bersama. Dulu bertiga, kini berdua.

Dan Qayyim adalah cucu pertama buat kedua-dua keluarga Ummi dan Ayah Qayyim. Memang dialah tumpuan hati dan kesayangan semua.

Pemergian Qayyim secara tiba-tiba pada usia muda adalah satu takdir yang merentap hati kami. Yang buat kami lelah dalam kesedihan. Kalah dengan kerinduan.

Takdir ini juga yang buatkan kami menutup diri masing-masing. Hanya melayan pilu itu sendiri. Membawa diri. Tidak mahu tanpa sengaja menyakiti sesama kami.

Dua tahun berlalu, saat kami sudah sama-sama kuat, saat hati sudah sangat reda, kami sudah boleh berbual tentang Qayyim dengan lapang dada.

Tiada lagi rasa duka tanpa makna kecuali rasa bahagia kerana anak kami sudah di dalam jagaan-Nya.

Berat hati kami kehilangan anak tunggal kami, mungkin berat lagi hati opah dan tok (Mama Ummi) untuk melewati usia tua ini tanpa cucu kesayangan.

Kedua-dua nenek yang hidup sendiri setelah pemergian suami masing-masing pada tahun yang sama, berselang 5 bulan saja.

Kini tanpa Qayyim pula.

Adanya opah dan tok adalah satu rahmat.

Takdir ini perit tetapi ia juga menjadi bukti cinta yang tulus.

Selagi masih ada usia mereka, selagi itu doa sentiasa ada buat Qayyim.

#mommycathomey
#griefinsilence
#lifeafterloss


Comments

Tinggalkan Balasan

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading