Jam di pergelangan tangan Qayyim ini adalah jam yang sama ayah Qayyim pakai sepanjang musafir kami sebagai Duyufurrahman ini. Masih melekat bauan Qayyim meskipun ini bukan jam yang dia pakai buat kali terakhir.
Ayah Qayyim dan Qayyim memiliki minat yang sama – jam tangan. Dengan jam inilah, terikat rasa rindu tanpa sempadan, tanpa had masa, tanpa tarikh tamat.
Masa bersama Qayyim tidak akan kami nikmati lagi.
Melihat dia menamatkan pengajian. Melihat dia mencapai cita-citanya menjadi salah seorang crew F1. Melihat dia matang sebagai ketua keluarga. Melihat dia semakin dewasa seiring dengan masa tua kami.
Banyak yang kami ingin lihat tentang dia.
Lihat sejauh mana asuhan dan didikan kami membentuk Qayyim sebagai sebaik-baiknya lelaki.
Lihat bagaimana sokongan kami akan membangunkan Qayyim sebagai manusia berjaya dan bermanfaat.
Lihat sejauh mana gagal atau berjayanya kami menunaikan tanggungjawab kami sebagai orang tuanya.
Demi masa, Qayyim pergi mendahului kami. Demi masa, kami tidak akan melihat impian itu menjadi kenyataan. Demi masa juga, kami yang perlu terus berjalan untuk melunaskan baki tugas dan tanggungjawab kami sebagai khalifah di muka bumi ini.
Masa mengajar kami untuk ikhlas melepaskan kerana semuanya bukan milik kami.
Masa mendidik kami untuk sabar dan percaya bahawa perpisahan ini hanyalah sementara.
Masa telah membantu kami tumbuh di sebalik luka yang masih basah.
Masa akan sentiasa ada untuk kami terus mengingati dan mendoakan dia.
#islahumrah
#DuyufurrahmanRamadan

Tinggalkan Balasan