Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

LEPASKAN DENGAN HATI YANG PERCAYA

“…janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita. Sesungguhnya kami akan mengembalikannya kepadamu…”

(Al-Qasas 28:7)

Aku, seorang ibu yang sedang diuji dengan kesedihan. Ia menyesakkan dada. Membebankan fikiran. Mengacau relung jiwa; satu sudut perasaan paling dalam yang selama ini diam dan jarang berkocak.

Kedukaan seorang ibu umpama lautan tanpa dasar. Tiada siapa yang benar-benar tahu sejauh manakah dalamnya kepiluan itu. Di luar tampak mesra dan hangat, namun di dalam, dinginnya membekukan rasa. Kelihatan tenang, tetapi jiwanya berkocak tak mengira masa. Tampak kuat, namun di sebalik senyuman, air matanya mengalir tanpa sengaja.

Berada di Kota Taibah ini mendekatkan aku pada kefahaman tentang takdirku. Ia atas arahan, kehendak dan ketetapan Tuhan.

Bagaimana seorang ibu rela menghanyutkan anak lelakinya ke sungai. Tanpa ragu kerana ada janji Tuhan padanya. 

                                           (Al-Qasas 28:7)

Bagaimana seorang ibu rela menerima apa jua takdir dan dalam masa sama kekal taat kepada Tuhannya dan ikhlas dalam amal kebaikannya.

                                           (Al-Imran 3:43)

Bagaimana seorang ibu rela ditinggalkan di padang pasir bersama bayi lelakinya kerana yakin tentang janji Tuhan yang tidak akan mensia-siakannya. 

                                            (Ibrahim 14:37)

Aku mahu jadi ibu seperti itu.

Ibu seperti ibunya Nabi Musa. Seperti Maryam, ibunya Nabi Isa. Dan seperti ibunya Nabi Ismail, Hajar. 

Ibu yang mendahulukan Tuhan berbanding kehendak perasaan. Ibu yang mengutamakan agama berbanding gelora jiwa yang sementara. 

Dulu, aku fikir reda itu sudah mencukupi tetapi aku masih belum mampu menolak rasa memiliki.

Kini, aku melepaskan Qayyim dengan rasa percaya bahawa aku akan bertemu dan bersamanya kembali di Syurga Firdaus.

#islahumrah

#DuyufurrahmanRamadan 

#FitrahSyawal

#SyawalDiKotaNabi


Comments

Tinggalkan Balasan