SYAWAL DI KOTA NABI
Syawal yang sederhana namun sungguh bermakna. Hanya berdua namun terisi rasa bahagia. Jauh daripada keluarga namun indahnya, dekat dengan Baginda.
Syawal pertama tanpa anakanda Muhammad Izz Qayyim namun kami sangat reda.
Ramadan menyaksikan kesakitan kami. Kami datang ke kota suci ini membawa hati yang pasrah. Bagaimana kami berjuang menguatkan diri dengan air mata. Kami berpaut pada rahmat Tuhan, menyerahkan segala urusàn kepada-Nya. Memulangkan seluruh perasaan ini kepada-Nya. Beberapa kali kami kalah kepada rasa rindu terhadap Qayyim. Jatuh bangun dalam mengendalikan perasaan kami.
Menangis tanpa suara. Menyepi tanpa kata. Kami lalui saja fasa itu sehingga lega.
Hari ini, Syawal menyaksikan senyuman kami. Bagaimana penuhnya jiwa ini dengan rasa syukur atas kebaikan Ilahi. Setiap persoalan yang pecah-pecah berterabur seperti kepingan puzzle, akhirnya bercantum satu demi satu membentuk jawapan.
Takdir kami bukan tentang kami.
Ia tentang perhatian dan kasih sayang Allah terhadap setiap hamba-Nya. Ia tentang kebesaran Ilahi dan tiada pengaruh apa pun yang boleh menguasai-Nya. Ia tentang makna dan tujuan hidup ini; diuji untuk meluruskan hati.
Berhari raya di tanah kesayangan Nabi ini seumpama meniti jejak tarbiah. Mengingat maklumat hidup Baginda, antara yang paling hebat diuji dalam sejarah manusia. Kekasih Allah ini tidak pernah mengalah dan berpaling arah malah membuktikan tanda syukur Baginda dengan ibadah.
Kami meraikan Syawal seperti mana yang Rasulullah saw ajarkan, seperti mana Baginda merayakan – dengan hati yang bersih, jiwa yang bersyukur dan cinta yang semakin mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Ramadan kami penuh dengan hikmah. Syawal mengembalikan kami kepada fitrah.
Sebagai HAMBA yang akur.
Benar-benar akur tanpa rasa memiliki.
#islahumrah
#DuyufurrahmanRamadan
#SyawalDiKotaNabi
#FitrahSyawal


Tinggalkan Balasan