Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Selamat tinggal wahai Rasulullah saw.

Musafir kami sudah sampai di titik pulangnya. Kami bakal tinggalkan tanah barakah yang mendapat doamu ini. Kami akan kembali kepada rutin kehidupan biasa kami.

Terima kasih ya Rasulullah kerana tidak pernah mengalah demi umatmu. Yang tidak pernah lelah berjuang untuk memastikan agama Allah ini berkembang. 

Jika bukan keranamu Ya Nabi Allah, mungkin kami adalah manusia yang berkeliaran tanpa aqidah. Yang bertebaran sebagai manusia jahiliyah.

Jika bukan keranamu Ya Nabi Allah, bumi ini berputar tanpa rahmat. Yang nampak nikmat tetapi pastinya kami tidak selamat.

Sesungguhnya kami jadi amat bersyukur, agama yang Allah pilih buat kami adalah satu-satunya agama yang Allah iktiraf. Itulah agama yang kau pertahankan sungguh-sungguh. Agama yang ampuh tidak rapuh.

Di tanah kesayanganmu ini, kami terasa dekat denganmu wahai Rasulullah saw. Terasa kau ada di samping saat kami berdoa memanjat harapan. Terasa seperti tiap satunya menjadi nyata. 

Terasa bahawa diri kami terlalu kecil. Berkeluh-kesah tentang ujian hidup kami sedangkan kau Kekasih Allah, tidak pernah putus diuji Tuhan. 

Kau hilang apa yang kau sayang. Kau pilih berjuang berbanding hidup senang. Kau tenang menjadi abdi Allah di sebalik kekacauan dunia yang sarat dengan ulah.

Sewajarnya kami juga begitu. 

Saat mengingat sirah dan sejarahmu, hati kami tanpa sedar, menjadi kuat. Takdir hidup kami bukanlah apa-apa berbanding iman yang kau jaga hingga bertarung nyawa.

Terima kasih Ya Rasulullah.

Keranamu Allah merahmati alam ini. Kerana rahmat itu, kami dilindungi. Kami sangka kami akan hancur dengan ujian seberat ini. Sebaliknya, itulah cara Allah lentur hati kami. 

Wahai Muhammad Habiballah.

Bergetar bibir ini saat menyebut namamu. Berdebar dada ini sepertinya kau begitu hampir. Tanahmu akan kami tinggalkan tetapi tidak pada perasaan cinta dan kasih kami kepadamu. Semoga Allah menjemput kami sebagai tetamu-Nya lagi. Semoga dengan menziarahimu wahai Rasulullah, akan terampun setiap dosa kami, ditutup aib kami, dimaafkan setiap kesalahan kami dan diangkat setiap doa dan permintaan kami untuk dimakbulkan.

Kami akan kembali. Jika sebaliknya, maka kami tinggalkan di sampingmu ikrar sumpah setia hingga hari Kiamat, penyaksian tentang keesaan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya.

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ ٱللّٰهِ

‘Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah’


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading