Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

NAMAMU TERUKIR DI JIWA MESKI TANPA TINTA

MIQ.

Andai mampu ku ukir namamu di setiap hela nafasku, itu pilihan pertama yang aku mahu – tanpa ragu. Agar namamu sentiasa hangat dalam ingatan.

Andai mampu, sejurus mata ini terbuka kepada dunia, hanya tertera susunan namamu di layar mata. Agar dapat ku tatap setiap masa. Dapat ku lihat setiap ketika.

Andai mampu aku melakar, seluruh alam ini akan menjadi kanvas. 

Akan ku tulis namamu pada titisan embun yang singgah di cermin tingkap. Akan ku ukir namamu di kepulan wap putih yang mengapung di udara, dari secawan kopiku yang panas. Akan ku coret namamu di atas ombak putih yang bergulung di hujung kaki. Akan ku catat namamu di pelepah burung camar yang terbang bersama cerita. Akan ku conteng namamu di dinding langit agar satu dunia faham apa aku rasa 

Andai sahaja aku mampu. Kalau aku mampu. Namun, upayaku terbatas. 

Rindu ini mengukir segala rasa yang tidak menentu. Rasa ingin menggenggam setiap kenangan yang pernah tercipta agar tidak tiris daripada ingatan. Agar semua perkara tentangmu, kekal bersamaku.

Rasa ingin mengejutkanmu dari lena yang tenang. “Bangunlah anak. Teman ummi hanya untuk satu hari ini”.

Rasa ingin mengulang kembali saat kau menangis kali pertama yang mengangkat kedudukanku sebagai ibumu. Rindu ini ada kalanya memaksa aku ingin mendengar kembali suaramu memanggil “Ummi!”.

Bila rindu ini singgah dan menetap, ia jadi sebahagian diriku yang pernah lengkap dengan hadirnya kamu. Rindu yang datang mengusung namamu.

Sepertimana dalam takdir ditulis namamu sebagai zuriatku, itulah nama yang kekal terukir di sanubari ini meski tanpa tinta.

#mommycathomey

#faithfamilyfeline

#satuharisatulangkah

#kuatkeranacinta

#anaklelakiummiayah

#MIQ


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading