Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

THE QUEST OF THE SILENT HEART : PENCARIAN TENTANG HATI DAN IDENTITI DIRI

Tidak semua hati memilih untuk bersuara meskipun sangat ingin meluahkannya dalam bentuk bentuk kata-kata. 

Ada yang memilih diam bukan kerana tiada rasa tetapi mahu menyimpannya sebaik mungkin sehingga waktu yang tepat, segalanya akan terungkap.

Dia anak yang mudah mesra dan didekati. Mudah diajak bicara dan menyesuaikan diri. Nampak mudah tapi sebenarnya payah. 

Ada perkara tertentu yang dia perhati, hadam dan faham dengan caranya yang tersendiri. Dia simpan rapat dalam satu ruang paling dalam di jeluk hati. Seolah-olah hatinya bekerja lebih kuat daripada lidahnya, menyorok rasa yang hanya dia mengerti.

“Apa agaknya yang anak ummi fikir masa ni?”.

Qayyim berdiri tenang. Wajahnya polos sambil mata redupnya merenung lensa. Pandangannya jauh melangkau batas ruang, memandang ke arah ummi yang sedang merakam aksinya. 

Pada ummi ini satu pemandangan yang indah, yang ummi akan simpan sebelum berpisah. Ummi rasa bahagia dapat memotret wajah anak lelaki ummi ini secara spontan kerana selalunya, dia akan mengelak untuk dirakam.

Cuma, pandangan itu seakan mahu meluah sesuatu tapi kata-kata itu bagai dikemam. Seolah-olah dia tahu, itulah pandangan terakhir yang akan terakam. Seperti ingin memberitahu, apa saja tentang dirinya akan dirindui oleh ummi dan ayah. Bagaikan mahu menyampaikan, ummi dan ayah akan melalui satu takdir yang payah.

Saat ummi lihat semula gambar ini, ia seakan menzahirkan satu rasa tanpa kata.

“Qayyim sayang ummi dan ayah.”

Meskipun tak terucap namun pandangan itu seperti mengiakan. Naluri ummi dapat memahaminya. Getar hati seorang ibu dapat merasakannya.

Itulah momen terakhir kami bersama sebelum berpisah mengikut haluan masing-masing. Sebagai pelajar Malaysia di Perth, Qayyim menetap di Malaysian Hall dan kami akan pulang ke tanahair pada sebelah malamnya. 

Gambar ini adalah ketika kami menghantarnya ‘pulang ke asrama’. Inilah detik yang kami sangka perpisahan sementara. Sebaliknya ia jadi detik bersama yang terakhir secara fizikal sebelum kami berpisah selamanya.

𝟮𝟰.𝟳.𝟮𝟬𝟮𝟰

Sentuhan dan pelukan yang terakhir. Gurau dan senda yang terakhir. Perbualan dan tatapan yang terakhir. 

Kami tinggalkan Qayyim dengan harapan dia akan cekal berjuang menamatkan pengajiannya. Dia akan tekun mencari ilmu dan menikmati masa itu dengan pengalaman hidup yang menarik. Kami titipkan doa agar Allah menjaga anak lelaki kami dengan rahmat dan kasih-sayang-Nya.

Qayyim tak banyak bicara tetapi kami faham melalui tindakannya. 

Dia lepaskan zaman remaja yang penuh tarikan dan keseronokan demi satu impian – menjadi salah seorang krew F1. Dia nekad teruskan pengajian dalam bidang yang agak sukar malah menjadi satu-satunya anak Melayu di fakulti kejuruteraan Bachelor of Technology (Motorsport), Edith Cowan University, Joondalup, Australia.

Dia mahu buktikan kesungguhan dan kemampuannya. Mahu teruskan legasi ayahnya yang pernah belajar di Australia. Mahu jadi anak yang dibanggakan oleh kami berdua. 

Ummi rasa ummi faham apa yang Qayyim tekadkan dalam hati. Sepanjang membesarkan Qayyim, setiap apa yang dia mahu buat, dia akan usahakan sebaik mungkin meskipun tanpa menyebut apa-apa. Dia lalui proses itu sehingga segalanya selesai.

Pilihannya ke Perth adalah satu perjalanan yang bersambung daripada langkah-langkah kecil Qayyim untuk membina satu kerjaya yang berprestij. Ia juga tanda menjadi lelaki matang dan dewasa. Ia adalah permulaan episod pencarian tentang hati dan identiti diri.

Apartment bernama ‘Quest’ ini adalah saksi kisah kami bertiga. 

Sepanjang 10 hari kami menguruskan hal Qayyim, kami sungguh-sungguh nikmati ruang masa yang terhad itu. Di situlah kami berbual, makan, solat dan rehat. 

Kami sediakan ‘suasana rumah’ agar Qayyim selesa dan perlahan-lahan menerima perubahan hidup berdikari. Walaupun Qayyim boleh menyesuaikan diri tetapi tidak mudah bila terpaksa berjauhan beribu batu jaraknya. Segala macam emosi akan datang kemudian.

Setiap hari kami temankan Qayyim ke universiti. Menanti di cafe sambil uruskan kerja-kerja kami. Tamat kuliah, kami akan pulang bersama. Kami cipta kenangan itu. Kami mahu diingati sebagai ummi ayah yang telah menunaikan amanah dan tanggungjawab ini dengan sedaya-upaya kami. 

Dan gambar ini bukan sekadar sekeping kenangan. Ia adalah penutup bab untuk satu ‘quest’ yang tidak disangka akan tamat secepat itu. 

Mungkin Qayyim sudah bertemu sesuatu yang benar dan nyaman di hati. Sesuatu yang dia cari jawapannya. Dua bulan adalah garis masa yang secukupnya untuk Qayyim nikmati apa yang dia cari. Seperti yang sahabatnya maklumkan kami, Qayyim gembira sepanjang tempohnya di sana.

𝙌𝙪𝙚𝙨𝙩.

Ia bukan satu kebetulan.

Ia bukan semata-mata tentang apartment yang jadi persinggahan buat ummi ayah. Ia adalah simbolik tentang permulaan hidup baru buat Qayyim. Pencarian tentang makna diri dan tujuan hidup.

Kami sama-sama melalui episod perjalanan hidup yang telah disusun oleh-Nya. Akhirnya kami mengerti, tidak semua perjalanan itu berakhir pada titik yang sama. Tidak semestinya membawa ke jalan pulang setelah terpisah simpang. Tidak seharusnya bertemu semula setelah berjauhan lama.

Mudah-mudahan Qayyim bertemu apa yang dicari meskipun takdir telah menetapkan dia harus kembali ke sisi-Nya bersama hati yang hanya berbicara dalam diam.

#mommycathomey

#faithfamilyfeline

#satuharisatulangkah

#kuatkeranacinta

#MIQ

#anaklelakiummiayah


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading