“Assalamualaikum Muhammad Izz Qayyim…”
Sepi tapi menenangkan. Sunyi tapi membahagiakan.
Sungguh ummi pernah berharap Qayyim akan membalas salam itu. Ummi rindukan getar suara anak ummi. Sudah terlalu lama ummi tidak mendengarnya. Ummi takut ummi akan lupa.
Bukan ummi tidak waras. Bukannya ummi tidak beriman dengan Qada dan Qadar. Ummi sendiri sudah berdamai dengan takdir ini.
Ummi cuma rindu. Itu sahaja.
Memasuki tempoh 6 bulan pemergian Qayyim, kuat atau tidak, ummi tetap bangun setiap hari. Sedih atau pedih, ummi tetap teruskan hidup dengan sebaik cara. Menangis atau ketawa, ummi tetap nikmatinya sepenuh rasa.
Hadir di sisimu setiap hari ibarat refleksi paling jujur buat diri ummi. Tentang satu kenyataan bahawa kematian itu tidak ada alasan khusus untuk menolak tetapi perlukan sebab yang kuat untuk menerima. Tidak terlewat atau terawal walau sesaat. Tidak mengikut turutan tua atau muda.
Meski di cuping telinga, salam ummi ibarat angin lalu namun ia adalah kegembiraan ummi. Ummi yakin Qayyim kenal, tahu dan menjawab salam ummi.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang melintasi kubur saudaranya yang beriman kemudian dia memberi salam, melainkan saudaranya tersebut akan mengetahui perkara tersebut lalu menjawabnya.”
Riwayat al-Syaukani di dalam Nail al-Autar (3/305) dan Ibn Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/185).
(Rujukan: Maktabah Al-Bakri #2569 Waktu Khusus Untuk Ziarah Kubur)

Leave a Reply