Hati ummi hampir pecah saat tangga bergerak ini membawa ummi turun. Sakit dada ummi kerana menahan rasa. Seakan mahu menutup mata kerana kelibat yang ummi rindukan itu ada di mana-mana.
Suasananya sama.
Masih lapangan terbang yang sama. Ruangan legar yang sama. Gerbang berlepas yang sama. Malah wajah-wajah yang mengiringi ummi malam itu, adalah wajah yang sama. Keluarga ummi.
Cuma bezanya adalah tujuan dan destinasi.
Julai 2024, ummi dan ayah temankan Qayyim yang sambung belajar di Edith Cowan University, Joondalup, Australia.
Mac 2025, ummi dan ayah menjadi Duyufurrahman Ramadan, dijemput Allah untuk melalui pengalaman baru berpuasa di Mekah dan Madinah.
Abu Hurairah R.A mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Orang-orang yang pergi haji dan umrah adalah tetamu Allah S.W.T. Jika mereka memohon kepada Allah S.W.T, maka Dia akan mengabulkannya, dan jika mereka meminta ampun kepada Allah S.W.T, maka Dia akan mengampuninya.”
(Hadith Riwayat Nasa’ia, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).
7 bulan tanpa Qayyim, ummi dan ayah telah lalui fasa untuk sembuh yang pelbagai rupa. Ada kalanya kami jadi terlalu rapuh seakan tubuh itu akan hancur sendiri. Ada ketikanya kami jadi kuat seakan mampu hadap apa sahaja ketentuan Ilahi. Ada masanya kami jadi buntu seakan sudah lenyap hala tuju hidup ini. Ada waktunya kami jadi lapang dada seakan telah benar-benar berdamai dengan takdir ini.
Beginilah cara Allah menghiburkan hati ummi dan ayah. Terputus daripada kacau-bilau dunia. Terpisah daripada bicara manusia. Terasing di tanah suci yang tenang dan aman, membawa hati yang luka ini untuk disembuhkan dan kuat kembali.
Di sini, namamu mengapung di udara bersama doa ummi dan ayah yang tidak pernah putus buatmu. Sehingga umrah ini selesai, ummi dan ayah akan manfaatkan saat-saat yang ada ini dengan sebaiknya.

Leave a Reply