Di bawah langit Mekah yang nyaman, di atas bumi aman yang paling dicintai Allah, urusan umrah kami selesai dengan baik, semalam.
Selautan manusia, saujana mata memandang.
Berpusu-pusu tawaf mengelilingi Kaabah seakan tiada penghujungnya. Bertali-arus saei antara Safa dan Marwah seakan aliran yang tidak pernah surut.
Di sebalik padatnya umat, ia satu pengalaman rohani yang mendalam, penuh cinta dan rasa bahagia.
Langkah demi langkah yang kami atur, zikir-zikir yang dilafazkan, doa-doa yang kami panjatkan, bukan sekadar bukti patuh dan taat tetapi semakin membuktikan bahawa kami hanyalah hamba yang sangat lemah. Hamba yang hidup bertuhan dan berpanduan.
Tiada siapa tahu ujian kami. Tiada siapa tahu kedukaan hati kami. Tiada siapa ambil tahu tujuan kami ke mari. Tiada siapa peduli kisah kami sebagai Duyufurrahman Ramadan ini.
Di sini, hati benar-benar tunduk. Hati benar-benar dipujuk.
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai. Maka masuklah dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
( Surah Al-Fajr, 89:27-30 )
Apa sahaja yang telah ditakdirkan Allah, membawa kami ke satu arah. Berada di kota Mekah, kota yang tidak pernah sunyi daripada ibadah. Kota yang tidak pernah lena daripada menjadi saksi kesungguhan dan ketaatan. Kota yang tidak pernah menolak untuk menerima kedatangan hamba-hamba yang mahu kembali kepada Tuhan-Nya.
Kota ini bakal kami tinggalkan, hari ini.
Doakan perjalanan kami ke Madinah Al-Munawarah berjalan lancar dan selamat tiba di kota kesayangan Rasulullah saw itu.
Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ بِالْمَدِينَةِ ضِعْفَيْ مَا جَعَلْتَ بِمَكَّةَ مِنَ البَرَكَةِ
Maksudnya: Ya Allah! Limpahkanlah keberkatan di Madinah ini dua kali keberkatan yang berada di Makkah.
Riwayat al-Bukhari (1885)
#islahumrah
#DuyufurrahmanRamadan

Leave a Reply