Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

“Saat engkau membawa hatimu ke langit, berharap hanya pada Allah, tunggulah keajaiban yang akan turun” 

  • Syaikh Ibnul Qayyim rhm     –

Andai bukan kerana doa, aku rasa aku sudah hancur pada saat Qayyim pergi mendahuluiku. Daripada seluruh ujian hidup yang pernah aku tempuh, kehilangan Qayyim buatkan aku benar-benar rapuh.

Aku cuba capai tempat berpaut.

Aku cuba cari tempat bertaut.

Sungguh aku kalut bila fikirkan aku akan hidup tanpa dia. Sungguh aku takut bila bayangkan aku akan rindu akan dia. Sungguh aku rasa kecut bila renungkan aku sudah berpisah jasad dengan dia.

Hanya doa yang menyambung harapanku. Yang tidak memutuskan aku dengan dia. 

Hanya doa yang menegakkan imanku. Yang tiada jarak antara aku dengan DIA.

Aku bawa seluruh isi hatiku ke langit. Aku serahkan beban fikir ini. Aku lepaskan beban hati ini. Aku bukan pemilik perasaan ini. Aku cuma diuji dengan beban kehilangan. 

Yang memiliki adalah pemilik yang sama yang mengizinkan aku menikmati kebahagiaan bersama Qayyim.

Di hadapan Kaabah, segala rasa cemas itu sirna berganti tenang. Segala rasa duka itu pudar berganti lapang. Segala rasa yang tidak enak itu jatuh satu persatu umpama daun-daun kering keemasan yang gugur ketika musim luruh Osaka.

Langit yang memayungi Kaabah menjadi saksi tentang aku. Bagaimana aku merayu, merintih, mengadu dan mendesah dalam doa-doaku.

Dan bagaimana aku yakin bahawa setiap doaku diletakkan pada kedudukan yang terbaik di sisi-Nya. Menanti untuk kembali kepadaku mengikut cara dan takdir-Nya.

#islahumrah

#DuyufurrahmanRamadan 


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading