Bulan kegembiraan. Bulan kebahagiaan. Bulan yang penuh rahmat dan nikmat kerana Allah angkat dan tinggikan kedudukan ummi menjadi seorang ibu.
Itulah bulan kelahiran anak lelaki sulung ummi.
Bersama tangisan pertamamu yang memecah ruang sejuk bilik bersalin itu, air mata ummi laju mengalir membasahi pipi. Hadirnya kamu melengkapkan niat dan tujuan perkahwinan kami iaitu mahu memiliki zuriat sendiri.
Ayahmu adalah insan yang paling bahagia saat menyambutmu. Dia yang tak putus-putus mengucap syukur kerana Allah mengurniakan kamu.
Seorang anak lelaki yang sungguh-sungguh dia hajatkan.
Dalam doa yang ayahmu amalkan, dia khusus berkehendakkan anak sulungnya adalah seorang putra. Tidak pernah lelah berdoa. Tidak pernah jemu meminta. Saat kamu lahir, dia tanpa ragu menamakanmu ‘Muhammad’ kerana itulah janji seorang ayah andai Allah makbulkan doanya.
Kami lengkapkan namamu sebagai Muhammad Izz Qayyim.
Kami mahu kamu membesar dengan kebaikan dan keberkatan nama Rasulullah saw. Menjadi insan yang hebat dan berakhlak baik.
Izz yang bermaksud ‘kekuatan’ sengaja kami pilih kerana menepati gabungan nama ayah dan ummi.
Nama ketigamu yang bererti ‘ketua’ bertepatan dengan tugas kamu sebagai lelaki. Menjadi khalifah. Menjadi pejuang. Menjadi ketua. Menjadi seseorang yang boleh diharapkan.
Kami ajar kamu sukan sunah. Kamu mahir berenang, berkuda dan memanah. Kami ajar kamu Al-Quran dan kamu hafaz ayat-ayatnya. Kami bayangkan kamu lelaki yang terbaik yang mewarisi legasi kami.
Kalau dulu, air mata yang jatuh pada bulan Rabi’ulawal adalah kerana gembiranya kami menyambut kelahiranmu. Kali ini, air mata yang gugur pada bulan Rabi’ulawal adalah kerana pilunya hati kami melepaskanmu.
Kalau dulu, sejarah mencatatkan Rabi’ulawal adalah bulan lahir, bulan hijrah dan bulan wafatnya rasul mulia yang terakhir Nabi Muhammad saw. Kali ini, sejarah tercatat dalam takdir ayah dan ummi bahawa Rabi’ulawal juga adalah bulan lahir dan bulan akhirnya anak kami di dunia ini. Ia juga menjadi bulan hijrah buat ayah dan ummi kerana tujuan dan tumpuan hidup kami telah berubah semenjak kamu pergi.
Perjalanan kami seterusnya akan jadi berbeza kerana Allah membuka jalan yang lain buat kami lalui bersama.
Wahai anak ayah dan ummi, Muhammad Izz Qayyim.
Setelah kamu tiada barulah kami jelas hikmah di sebalik pilihan namamu. Kamu dipuji kerana kebaikan hatimu. Dipuji kerana ketulusanmu. Kamu ramai sahabat yang setia. Kamu juga dikenang sebagai anak yang baik. Banyak perbuatan baikmu sampai kepada kami. Kenangan itu membuat mereka memujimu dan kami menerima pujian kerana kamu.
Sesungguhnya itulah penawar hati yang Allah sediakan buat kami untuk teruskan hidup dengan lebih baik.
Sepadanlah dengan nama Muhammad yang diberi makna ‘orang yang dipuji’.
Semoga Allah merahmatimu Muhammad Izz Qayyim bin Ismail.
Sehingga masanya kita akan bersama kembali.

Leave a Reply