Ya Muhammad.
Hampir sebulan kami tinggalkan rutin ini. Hampir sebulan kami menanggung resah hati.
Kami rindu pada bauan tanah pusaramu. Rindu berada di sisimu sambil mengutis bunga-bunga putih layu di tangkainya. Kami rindu pada suasana damai itu.
Beribu batu jauhnya, kami menjejak Tanah Suci bersama hati yang sarat rasa rindu pada kamu. Membawa diri yang lemah dan hampir goyah, menanggung dukanya jiwa kerana kehilanganmu.
Hari ini, dengan izin Allah jua, hati kami kembali kepadamu.
Kembali ke ruang yang menjadi saksi perpisahan kita. Yang melihat kerinduan dan kesedihan yang kami bawa. Ruang yang menginsafkan, bahawa kami bakal menyusulimu bila sampai waktu.
Angin silir-semilir beralun lembut, mendakap tubuh kami yang masih lelah kerana perjalanan satu pertiga hari merentas awan. Sepertinya menyambut kepulangan dua hati yang berbalut rindu padamu. Seakan menyapa dan menghantar isyarat, kedatangan kami dinanti.
Daun-daun di pohon renek hijau yang menggebu ini bergetar perlahan saat angin menyulam lalu. Mata kami gembira. Jiwa kami bahagia. Lapanglah sudah dada yang sesak kerana menahan sebak.
Di sisimu, kami membaca doa dalam debar. Kami rindukan kamu. Sungguh kami rindu Muhammad Izz Qayyim.
Namamu sudah kami langitkan, semoga bahagia di dalam rahmat dan kasih-sayangNya.
#islahumrah
#refleksifitrah
#mommycathomey
#kembararohani
#kembalinyahati

Leave a Reply