“Seorang lelaki boleh menjadi ayah kerana takdir tetapi tidak semua mampu menjadi tempat anak berpaut. Ia adalah pilihan, pengorbanan, cinta dan kasih yang tak pernah cukup untuk dihitung”.
Banyak yang aku lihat tentang dirinya tetapi aku tak mampu mengatakannya dalam bentuk kata-kata kerana setiap yang aku simpan jauh di jeluk hati ini terlalu dalam untuk diungkap dengan tinta.
Namun, hari ini aku rasa terpanggil untuk meluangkan masa menyusun kata demi kata, sedikit demi sedikit sebagai tanda terima kasih buat lelaki yang menjadi nadi dan tiang hidupku dan Qayyim.
“الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ…”
‘Lelaki (suami) itu pelindung kepada perempuan (isteri)…’
Surah An-Nisa’ 4:34
Dia bukan lelaki sempurna tetapi dialah lelaki 𝗾𝗮𝘄𝘄𝗮𝗺 yang Allah kurniakan buat aku dan Qayyim. Dia pemimpin, pelindung, pejuang dan pendukung kehidupan kami. Dari titik kosong dia bermula, dialah yang memandu arah perjalanan keluarga kecil kami.
Banyak yang aku belajar daripada sifatnya sehingga membentuk sikap aku agar seteguh dia kerana aku adalah saksi hidup yang melihat sendiri kesungguhannya memberikan yang terbaik buat kami.
Dia lelaki yang kuat bukan kerana suaranya yang deras atau sikapnya yang keras tetapi pada bahunya yang kukuh, yang aku boleh berpaut erat saat aku hampir rebah.
Dia bukan lelaki yang petah berkata-kata sekadar manis bicara membeli jiwa tetapi mampu menenangkan dengan bahasa mata bahawa ‘aku sentiasa ada’.
Dia lelaki yang sedaya-upaya tegap meskipun hampir tumbang. Yang tabah meskipun hatinya sendiri hancur. Yang diam-diam mencari kekuatan agar bisa menjadi sandaran aku.
Dia bukan lelaki ego dan semberono hanya untuk menampakkan dirinya hebat tetapi lelaki yang tenang dan wajar sebagai tempat aku meluah rasa.
𝗧𝗘𝗥𝗜𝗠𝗔 𝗞𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗬𝗬𝗜𝗠,
Kerana tidak menjadikan takdir kehilangan Qayyim ini sebagai alasan menjauh. Kau tidak menyalahkan apa-apa pun apatah lagi untuk meninggalkan aku.
Kau tetap memimpin keluarga walau hanya tinggal kita berdua. Kau tetap menjaga dan melindungi aku. Kau tetap pejuang kehidupan tanpa mengabaikan satu sen nafkah yang biasa kau lakukan.
Kau jadikan takdir ini satu ruang istimewa membawa aku dan dirimu rapat kepada-Nya. Kau tetap memimpin, melindung dan menjaga aku dalam keadaan kau sendiri masih berjuang memujuk hati yang celaru kerana rindu.
Takdir yang tidak terjangka ini benar-benar menggoncang jiwa. Kita sama-sama takut andai tanpa sedar kita lemah dengan emosi dan kalah kepada takdir.
Kau bawa aku jauh ke tanah suci, terasing daripada huru-hara dan bingit suasana demi selamatkan iman. Kita bawa diri demi ketenangan hati. Kita cari kekuatan demi masa depan yang masih panjang tanpa Qayyim. Kita menangis hiba tanpa bicara saat menadah tangan melangitkan doa di hadapan Kaabah, memohon agar semua ini adalah takdir terindah buat kau, aku dan Qayyim.
Aku percaya dan aku yakin kau ayah terbaik buat Qayyim. Tiada apa yang sanggup kau usahakan melainkan untuk mendewasakan seorang anak lelaki versi dirimu malah mungkin lebih baik daripada itu.
𝗦𝗘𝗟𝗔𝗠𝗔𝗧 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗕𝗔𝗣𝗔 𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗤𝗔𝗬𝗬𝗜𝗠
Kau lelaki paling bahagia pada hari pertama bergelar bapa. Kau bersyukur tak terkira kerana doamu yang inginkan anak lelaki telah Allah makbulkan. Kau hargai nikmat gelaran itu sehingga menjadikan kau seorang lelaki yang bersungguh menjaga keluarga.
Usahamu bukan sedikit. Harapanmu bukan kecil. Keinginanmu seiring impian dan cita-cita Qayyim.
Kau sentiasa ada untuk dia. Sentiasa bersedia mendengar keluhan anak. Sentiasa cuba memahami kehendak dia. Sentiasa berusaha memenuhi keperluan dia. Banyak persamaan kau dan dia mungkin kerana dia mengikut acuan yang kau bentukkan untuk dia.
Seindah namamu Ismail, semoga Allah merahmatimu dengan segala kebaikan di sisi-Nya. Terima kasih kerana rela berkorban setulus hati demi aku dan Qayyim. Terima kasih kerana tetap menjadi lelaki qawwam dalam duka paling dalam yang pernah kita rasa.
#mommycathomey
#satuharisatulangkah
#faithfamilyfeline
#kuatkeranacinta
#selamatharibapa



Leave a Reply