Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

SEDEKAD BERLALU, 4 JUN TETAP TIBA: DULU TANPA KAMI, KINI TANPA DIA.

Masa ummi tengok semula gambar lama ni yang muncul di memori fb, rasa rindu pada anak lelaki ummi jadi semakin dalam dan berat. Jadi semakin tajam dan menusuk jauh ke hulu hati.

Merindui anak tunggal yang telah pergi selamanya adalah antara ujian hidup yang paling berat buat ummi dan ayah. Sedangkan berjauhan jarak denganmu saja sudah cukup meresahkan jiwa inikan pula terpisah dunia. Sedangkan berpaling mata daripadamu sesaat sudah cukup menggamit rindu inikan pula terpisah jasad.

Pergimu adalah pergi yang tak akan kembali. Menangis hingga kering air mata sekalipun, kamu tiada lagi bersama kami.

Ummi tenung kembali gambar ini. Kali ini lebih lama. Tiba-tiba rasa lucu mencuit hati.

Gelap berkilat seperti perunggu anak ummi gara-gara seminggu terjemur matahari di Pulau Tioman. Teringat juga bagaimana anak ummi sengaja mahukan kulit gelap. Agaknya seiring dengan usia remaja, kamu mahu nampak tegap dan jantan. Bukan lagi comel dan putih gebu.

Apa saja aktiviti lasak yang kamu tak buat. Berenang, berkuda, memanah, bersukan. Sempat juga belajar taekwondo. Semuanya ummi ayah sediakan untuk melengkapkan kemahiran dan kekuatan seorang anak lelaki. Sepadat jadual kamu, begitulah sibuknya kami menguruskan kamu.

Agak lama ummi melayan perasaan ummi. Gambar ini menyedarkan ummi tentang satu perkara. Persamaan itu berulang cuma dengan rasa dan suasana yang jauh beza.

Sedekad lalu, saat anak ummi ayah meraikan ulangtahun ke-15, kami jauh di perantauan kerana tugasan ayah selama dua minggu di London. Dalam masa yang sama, anak lelaki ummi ayah ikuti Kursus ‘PADI Open Water Diver Certification’ di Pulau Tioman. Kamu memilih ‘diving’ untuk memenuhi silibus ‘Lifelong Learning Modules’ ketika belajar di Khalifah Model School Secondary (KMSS).

Itulah pertama kali ulangtahun kelahiran anak lelaki ummi diraikan tanpa kami berdua. Ketiadaan itu diisi oleh sambutan yang diadakan oleh keluarga ummi. Sederhana tapi amat bermakna buat kami yang berjauhan dengan kamu ketika itu. Paling kurang, tidaklah kamu keseorangan.

Tahun ini, saat tibanya hari ulangtahunmu yang ke-25, anak ummi ayah yang tiada di sisi kami untuk diraikan seperti selalu. Tiada lagi ucapan. Tiada lagi pelukan. Tiada lagi pemberian. Semua itu terasa aneh dan janggal pada awalnya. Peritnya apabila memikirkan kenyataan itu.

Bagaimana kami hadapi kehilangan ini?

Hanya dengan beriman terhadap qada’ dan qadar. Hanya kerana yakin bahawa takdir Allah adalah yang terbaik. Hanya kerana kami percaya bahawa perpisahan ini adalah untuk satu pertemuan yang abadi.

Dan kekosongan itu kami isi dengan doa yang tidak pernah lelah sebagai bukti cinta, kasih dan sayang kami padamu. Mudah-mudahan ia menjadi rahmat dan kesejahteraan buatmu.

Kami amat bersyukur memilikimu. Gembira membesarkanmu. Bahagia mendewasakanmu. Redha dengan pemergianmu. 

Walau berpuluh kali lagi ummi ayah akan menempuhi tarikh 4 Jun, kami bersaksi bahawa kanu adalah anak yang menyenangkan hati kami berdua. Yang melengkapkan peranan kami sebagai ibu dan ayah.

Semoga Allah merahmatimu wahai anak lelaki kami, Muhammad Izz Qayyim bin Ismail. Semoga tempat tinggalmu kini adalah tempat istirehat yang paling tenang. Yang paling damai dan nyaman. Yang luasnya seperti taman-taman syurga.

Sehingga kita bertemu lagi.

#mommycathomey

#faithfamilyfeline

#kuatkeranacinta

#satuharisatulangkah

#muhammadizzqayyimbinismail

#4Jun


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading