Kisah seorang ibu tidak akan sama.
Bermula dari tajuk cerita, susunan bab, plot dan kemuncak hidup, perjalanan akhir dan penutup, setiap satunya unik dan tersendiri.
Ada yang berjuang sendirian. Ada yang cuba kuat dalam diam.
Ada yang menutup rasa. Ada yang sedang menjahit luka.
Ada yang membina empayar. Ada yang masih mengatur cita-cita.
Ada yang bahagia dengan cinta. Ada yang derita kerana rakus manusia.
Dan,
Ada juga kisah seorang ibu, yang pernah merasa lengkap hidupnya, sebelum takdir menentukan dia kehilangan anak tunggalnya.
Tidak ada mana-mana ibu pun yang benar-benar bersedia dengan pemergian si anak.
Biarlah lelah saat melahirkan asalkan anak menikmati kehidupan. Biarlah nyawa jadi taruhan asalkan anak membesar dalam kebahagiaan.
Impiannya untuk mendewasakan anak. Harapannya untuk menyaksikan kejayaan anak. Biarlah anak hidup lama daripadanya untuk memanjangkan hasil asuhan dan didikannya.
Terlalu banyak yang telah wanita bergelar ibu ini korbankan sehingga dia sendiri tidak pasti adakah itu pengorbanan atau kebiasaan.
Anehnya hati seorang ibu.
Walau hati retak seribu, dia tetap menunggu. Walau air mata turun laju, dia tak pernah salahkan rindu.
Walau lelah bertongkat kudrat tua, dia sabar ke hujung usia. Walau sunyi mengisi masa, dia redha dan tidak putus dengan doa.
Ujian kehilangan itu adalah perjalanan pulang yang tenang.
Ibu,
Bukan sekadar lambang kecantikan wajah dan kelembutan jiwa. Dia manusia biasa yang ada ragam dan tidak sempurna.
Namun dia memilih untuk terus hidup di sebalik hatinya yang pecah-pecah. Dia terus kuat di sebalik harapannya yang hancur berkecai.
Seorang ibu tidak memilih mengalah selagi cinta masih bernafas dalam jiwa. Selagi nafas masih ada, perjuangan itu belum bertanda.
Buat ibu seluruhnya,
Apa jua kisah hidup kalian, hadapi dengan penuh iman dan sabar. Belajar untuk tidak menyalahkan. Belajarlah untuk tenang. Belajar bangkit semula meskipun kau pernah jatuh ke jurang yang paling dalam.
Sayangi dirimu sepenuhnya agar kau mampu memberi kasih-sayang yang tulus dan hidup sepanjang waktu.
Tiada siapa yang akan meletakkan dirimu pada tempat yang tinggi melainkan hati yang sentiasa bersandar penuh pada rahmat-Nya.
Selamat Hari Ibu.
#mommycathomey
#strongerwithfaith
#livingwithgrief
#fitrahjiwa
#lifeafterloss


Leave a Reply