Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

4 Jun ❤️

Sejak dari subuh tadi, hati ummi terasa kosong sangat tetapi fikiran ini seakan ditarik jauh, mengembara kembali ke masa silam.

Tahun ini, sudah tahun kedua tarikh 4 Jun berulang tanpa ada orangnya.

Tarikh lahir Muhammad Izz Qayyim dan hari ini adalah ulangtahun kelahirannya yang ke-26.

Meskipun sudah semakin jauh kami terpisah jasad, tarikh ini tetap bermakna buat kami berdua. Ahad 4 Jun 2000 adalah hari yang Allah pilih untuk menghadiahkan kami gelaran paling indah; Ummi dan Ayah.

26 tahun lalu, lahirlah putera dan pewaris kami yang membawa begitu banyak cinta, kebahagiaan dan pengajaran dalam hidup kami. Hadirnya dia benar-benar menambah makna kehidupan ini.

Perjalanan bersama di dunia ini terhenti terlalu awal, pada garis masa yang terlalu singkat kami bersamanya. Ia tidak sepanjang impian yang kami susun buatnya tetapi kenangan itu tidak pernah mati.

Kasih terus hidup menjadi harapan. Cinta terus mekar sebagai doa.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim.

Anak ini pernah berada dalam rahimku. Yang ku kandung dengan penuh kasih dan sayang. Yang dipilihkan nama terbaik. Yang didoakan dengan segala kebaikan.

Pada hari yang istimewa ini, tiada hadiah yang lebih mampu kami berikan kecuali doa-doa kami sebagai orang tuanya. Tiada yang lebih mahal kami serahkan kecuali lafaz REDA kami terhadapnya.

Ampunkanlah Muhammad Izz Qayyim, maafkanlah setiap kesalahannya, terangilah tempat persemadiannya, luaskanlah kuburnya sebagai tempat istirehat yang terindah dan angkatlah kedudukannya dalam kalangan hamba-Mu yang beramal soleh.

Terima kasih Ya Allah kerana menganugerahkan Qayyim buat kami. Melalui Qayyim, kami menikmati satu kedudukan yang tinggi sebagai Ummi dan Ayah.

Selamat hari lahir ke-26 buat anak syurga ummi ayah.

Sampai waktu kita bersatu, namamu adalah isi doa kami. Kenangan bersamamu adalah nadi kehidupan ini.

Dan cinta kami buatmu akan terus hidup hingga ke akhir hayat 🤍🌷

#mommycathomey

#strongerwithfaith

#livingwithgrief

#muhammadizzqayyimbinismail

#lifeafterloss


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading