Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Dalam kitab hidup ini, susunan langkah meneruskan perjalanan hidup tanpa Izz Qayyim, nyata sarat air mata.

Hijrah daripada ada kepada tiada, bukan satu perkara yang mudah untuk dilalui. Daripada bertiga kepada hidup berdua, sangat jauh beza rasanya.

Air mata rindu pada kenangan bersamanya.

Air mata cinta pada seluruh dirinya.

Air mata pasrah pada harapan terhadapnya.

Air mata syukur pada tingginya nilai hikmah qada’ dan qadar-Nya.

Semuanya hanya air mata.

Tahun ini, meski air mata masih ada, aku melangkah ke tahun baharu bersama hati yang lebih reda dan penuh harapan.

Dua tahun tidak menghilangkan rindu. Muhammad Izz Qayyim sentiasa ada di setiap doa dan ruang yang pernah diisi dengan kasih sayangnya.

Aku belajar bahawa air mata dan rindu ini bukan bererti aku lemah. Aku adalah ibu yang diuji dengan pemergian anak tunggalku. Air mata adalah cara aku berbicara. Itu tanda aku manusia yang memproses setiap rasa.

Air mata dan rindu ini jugalah yang menjadi jalan mendekatkan diri kepada-Nya. Semua ini datang dari-Nya dan kepada Dialah ku serahkan seluruh percaya.

Hari ini, aku memilih untuk terus hidup. Membina diri, menjaga keluarga, menabur manfaat dan meneruskan amanah kehidupan.

Aku akan terus membawa rindu ini dengan penuh kasih, sambil melangkah dengan iman dan harapan bahawa setiap perpisahan yang tertangguh di dunia pasti ada pertemuan abadi atas izin-Nya.

Selamat Awal Muharam 1448H.

𝑯𝒊𝒋𝒓𝒂𝒉𝒌𝒖 𝒅𝒂𝒓𝒊 𝒂𝒊𝒓 𝒎𝒂𝒕𝒂 𝒃𝒖𝒌𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒓𝒂𝒏𝒂 𝒎𝒂𝒉𝒖 𝒎𝒆𝒍𝒖𝒑𝒂𝒌𝒂𝒏 𝒅𝒊𝒂 𝒕𝒆𝒕𝒂𝒑𝒊 𝒃𝒆𝒍𝒂𝒋𝒂𝒓 𝒉𝒊𝒅𝒖𝒑 𝒃𝒆𝒓𝒔𝒂𝒎𝒂 𝒓𝒊𝒏𝒅𝒖. 𝑫𝒂𝒏 𝒂𝒊𝒓 𝒎𝒂𝒕𝒂 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒕𝒖𝒓𝒖𝒏 𝒊𝒏𝒊 𝒂𝒅𝒂 𝒎𝒂𝒌𝒏𝒂 𝒅𝒊 𝒔𝒊𝒔𝒊-𝑴𝒖.

#mommycathomey #lifeafterloss #healingcatcontent #faithfamilyfeline #strongerwithfaith


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading