4.6.2025
Berdebar dada ummi saat lampu skrin fon menyala. Pandangan ummi terus jatuh pada gambarmu yang terpampang jelas di skrin. Tarikh itu muncul bersama wajahmu yang sungguh-sungguh ummi rindu. Wajah yang ummi tatap setiap hari tanpa jemu. Wajah yang ummi harap selalu hadir dalam mimpi. Wajah yang ada di mana-mana saja.
Dua puluh lima tahun lalu, kau hadir membawa ‘cahaya’. Bawa bahagia dan gembira. Kerana kau, kami bergelar ibu dan ayah. Kerana kau, kami merasai nikmat dipanggil ‘Ummi’ dan ‘Ayah’.
Kau anugerah terindah buat kami yang menanti. Saat bibir kecilmu memanggil nama kami, hati kami tidak tertampung dengan rasa syukur memilikimu. Sebaik mungkin kami menjaga, mendidik dan melindungi. Diam tak diam, 24 tahun kau dewasa bersama kami.
Selamat Hari Lahir Qayyim, dan kata-kata itu tersangkut di rongkongan. Tak terluncur di bibir menjadi lafaz walaupun kami terlalu ingin mengucapkannya.
Pertama kali meraikan hari lahirmu tanpa kamu. Tiada lagi pelukan. Tiada lagi ucapan. Tiada lagi sambutan dan pemberian. Semuanya terasa asing dan janggal.
Yang tinggal hanya hati kami yang berbisik ke langit.
“Selamat hari lahir wahai anakanda”.
Meskipun kau telah tiada, ia tidak memadamkan gelaran kami sebagai Ummi dan Ayah. Walau beratus kali lagi tarikh ini berulang, begitulah kami yang mencintaimu sepenuh hati.
Namamu sentiasa dalam doa kami. Kebaikanmu adalah nyawa kami. Merinduimu adalah nadi kami. Setiap kenangan bersamamu bagaikan nafas untuk kami terus hidup.
Selamat Hari Lahir Qayyim.
Ummi bahagia melahirkanmu. Ayah gembira membesarkanmu. Ummi Ayah doakan Syurga tertinggi buatmu.
Hanya itu hadiah yang kami ingin buat kamu.
#mommycathomey #faithfamilyfeline #satuharisatulangkah #kuatkeranacinta #muhammadizzqayyimbinismail


Leave a Reply