Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Lama ummi simpan gambar ni.

Sekeping gambar merakam cahaya mentari pada awal pagi 1 Syawal, yang terpancar keemasan menembusi panel kaca ruang tangga ke tingkat atas Raudhatul Qayyimi.

Tenang dan sangat damai.

Unik dan sangat cantik.

Dalam beberapa hari saja lagi Syawal bakal berlalu pergi. Sama seperti Ramadan, perjalanan menempuhi bulan kemenangan ini adalah atas rahmat dan izin-Nya jua.

Semua itu adalah atas kehendak-Nya.

Ramadan yang ditempuhi, Syawal yang dilalui tidak sama perjalanannya bagi setiap hamba. Ada kisah hidup yang menjadikannya ia sempurna bukan berpuasa dan berhari raya semata.

Walau berbumbungkan langit yang sama, meski berteduh di bawah awan yang serupa, suasana di mana kita berada adalah berbeza.

Begitu juga takdir kehidupan.

Ceritanya sama tapi olahan cerita menjadikannya berbeza. Takdirnya serupa tapi cara menerima yang membuatkannya tidak sama.

Buat yang diuji dengan kehilangan, namun memilih untuk tetap berdiri, dengan hati yang bersandar penuh kepada Tuhan, yakinlah bahawa semua itu bukan sia-sia.

DIA nampak payahnya untuk memujuk hati. DIA lihat air mata yang turun di malam hari. DIA tahu sukarnya menjaga iman saat hidup seakan tidak bererti. DIA perhati sukarnya manusia yang terluka hatinya itu untuk sujud dan merendah diri.

Saat DIA mengambil sesuatu yang paling hamba-Nya cintai, saat itu DIA mahu melihat bagaimana hati hamba itu berfungsi.

Adakah menjarakkan diri atau kembali?

Adakah mempersoalkan atau menerima?

Adakah masih menggenggam luka,
atau sudah belajar melepaskannya kepada DIA?

Adakah terus dirundung duka atau bangkit membina semula?

Tidak semua yang pergi itu memusnahkan seperti mentari yang hilang bila malam tiba. Ia berganti bulan yang menyuluh jalan kelam.

Tidak semua yang tinggal itu menyembuhkan seperti dendam yang dipupuk masa. Semakin lama digenggam, luka jadi semakin dalam.

Teruslah hidup dengan hati yang tenang dan lapang. Rindu sentiasa ada kerana kenangan tidak semudah itu untuk dilupakan.

Itulah nadi yang menghidupkan harapan dan terus bertahan dalam cinta.

#mommycathomey

#strongerwithfaith

#livingwithgrief

#fitrahjiwa

#lifeafterloss


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading