Khamis.
2.4.2026 bersamaan 13 Syawal, Mommy Dedi selamat tiba di tanah air selepas satu penerbangan yang mengambil masa 8 jam 38 minit.
Kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah jam 1.53 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3.31 pm, awal 24 minit daripada yang dijadualkan.
Perjalanan pulang yang lancar dan tenang.
Perjalanan yang pada awalnya terasa berat kerana meninggalkan Madinah tetapi akhirnya menerbitkan rasa tidak sabar untuk berada di negara sendiri.
Alhamdulillah.
Setiap perkara adalah di dalam pengetahuan-Nya dan Dia menyempurnakan setiap urusan kami dengan sebaik-baik cara-Nya.
Sebulan lalu, kami ke tanah suci untuk menyahut rindu yang merayu jiwa. Membawa hati yang penuh.
Penuh dengan harapan. Doa. Air mata. Penuh rindu yang kami bawa diam-diam.
Sebulan pun berlalu, kami kembali ke Raudhatul Qayyimi.
Ke teduhan yang menyimpan kisah hidup kami yang sederhana. Rumah yang tegap menunggu tanpa banyak tanya.
Ada keluarga yang menyambut mesra. Ada anak-anak bulus yang menanti penuh setia. Semua itu hanya hal biasa tetapi buatkan hati kami terus bernyawa.
Di sebalik celahan cerita itu, ada satu rindu yang paling sulit untuk kami noktahkan.
Rindu buat anakanda.
Kami pulang tetapi dia tiada sedangkan rindu itu paling melimpah buatnya. Mata masih mencari sosoknya tetapi yang ada cuma khayalan rasa. Hati sangat mahu memeluknya tetapi hanya ada bayang kenangan di kelopak mata.
Segala rasa yang bercampur itu buatkan diri kami seakan runtuh di hadapan pintu rumah sendiri.
Dari situ kami belajar.
Setiap pertemuan ada perpisahan. Ada harapan. Ada rindu. Dan tidak semua rindu itu dicipta untuk dipertemukan.
Dia setia menanti,
Cuma di rumah yang berbeza.
#mommycathomey
#strongerwithfaith
#livingwithgrief
#fitrahjiwa
#lifeafterloss


Leave a Reply