Ruang tenang kami, bilik Izz Qayyim.
Dia sempat melakar idea hiasan biliknya ketika kami ‘membangunkan’ rumah ini. Impiannya kami realisasikan tanpa satu pun yang terlepas pandang. Sama seperti apa yang dia mahu.
Cuma,
Dia yang tak sempat melihat hasil lakarannya. Rezeki yang tertulis adalah untuk siap, bukan untuk dia diam di kamar ini.
Sepanjang proses ummi dan ayah pindah dari rumah lama ke Raudhatul Qayyimi ini, sepanjang tempoh itulah air mata tak henti mengalir.
Masih tersisa rasa tidak percaya dia telah tiada. Masih berharap semua ini bukan nyata. Melihat kamarnya yang siap setelah dia tiada, hati ini meronta-ronta.
“Baliklah Qayyim. Bilik Qayyim dah siap. Cantik. Ummi ayah buat sama macam yang Qayyim nak.”
Kata-kata itu bergulung dalam dada.
Apatah lagi ketika menyusun barang-barang terakhirnya yang dibawa pulang dari Perth.
Entah berapa kali kerja-kerja mengemas terhenti. Termenung sambil membelek barang tinggalan Qayyim. Hanyut kerana ingatan yang tak pernah padam. Ngelamun kerana rindu.
Ada masa kami sambung kalau hati itu kuat. Ada masa kami tinggalkan dulu sehingga hati kami benar-benar tenang.
Kerana,
Ia bukan hanya tentang berpindah dan membawa barang tetapi lebih kepada mengalih kenangan lama sebagai asas kami membina kehidupan baru tanpa dia.
Kami belajar melepaskan apa yang tersangkut dalam hati kami dan berlapang dada menempuh perjalanan yang dipilih untuk kami lalui.
Kesibukan yang mengikat kami sejak pulang dari umrah 3 minggu lalu buatkan kami lepaskan sementara rutin mengemas bilik Qayyim.
Masuk sekadar menyelak langsir, memberi ruang kepada cahaya pagi menyinar seketika. Sesekali menumpang solat di sisi katilnya. Masuk untuk ‘merasa’ aura dirinya yang tersisa agar kami tidak lupa.
Hari ini, ummi dan ayah sama-sama tumpukan perhatian dan masa di bilik Qayyim.
Ada yang perlu disusun atur semula. Ada yang perlu dikemas rapi. Ada yang beralih dan perlu diletak kembali. Ada yang berdebu dan perlu dibersihkan juga.
Kami kekalkan kamar ini kerana di sinilah ruang tenang kami.
Ruang yang menyedarkan kami satu hakikat bahawa Qayyim sudah tiada. Bukan mimpi atau satu drama.
Ruang yang penuh rasa kasih dan sayang kerana Raudhatul Qayyimi sendiri dibina demi cinta kami pada anak tunggal kami.
Ruang kami bersunyian dengan-Nya. Bersama doa dan harapan kami bangkit membina semula jiwa yang lebih kuat. Bersama air mata dan rasa lemah itu, kami serahkan seluruh kesakitan ini pada-Nya.
Mungkin segala rasa kami pada Izz Qayyim tidak berbalas tetapi kami tahu, segala kebaikan buatnya tidak terbatas.
Kehilangan ini bukanlah penamat segala cinta. Bukan juga satu perpisahan yang sengaja diada-ada.
Ia satu kehidupan sunyi yang ditentukan untu kami lalui sebagai jalan pulang ke sisi Ilahi.
#mommycathomey
#strongerwithfaith
#livingwithgrief
#fitrahjiwa
#lifeafterloss

Leave a Reply