Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Mama Zara ibu yang terpilih.

Sepanjang tempoh mengikuti kronologi kes Adik Zara Qairina, Mommy akui yang sedikit sebanyak ia membawa Mommy kembali ke detik awal pemergian Qayyim. 

Hari yang keliru penuh celaru.

Hari itu tenang tetapi ada yang hilang. 

Hari yang kami tidak tahu apa-apa tetapi ‘dipaksa’ menerima takdir bahawa Qayyim telah tiada. 

Banyak persoalan dalam kepala. Hati ini sarat prasangka. Kenapa ini yang perlu kami terima? Apakah yang menjadi punca?

Dalam keadaan terkejut itu kami cuba mencari sebab sehingga ambil sedikit masa untuk memahami hikmah.

Saat Allah putuskan sesuatu, DIA sudah mengukur kekuatan dan kemampuan hamba-Nya. Hidup ini sama sekali tidak akan pernah terkeluar daripada kehendak dan ketentuan-Nya. Sama ada terima atau tidak, takdir akan tetap berjalan juga. Tiada cepat atau lewat walau sesaat. Semuanya tepat.

Sebagai ibu, Mommy dan tentunya Mama Zara sendiri, sangat redha terhadap anak-anak. Tiada apa yang lebih kami inginkan melainkan redha Allah terhadap mereka. Mencintai takdir ini buatkan kami berserah segala rasa. Doa-doa yang tulus. Harapan yang tak putus agar anak-anak kami berada di kedudukan terbaik di sisi-Nya.

Mama Zara sedang berjuang.

Mommy dan pastinya seluruh rakyat Malaysia sedang mendoakan yang terbaik buat beliau. Malah kisah perawan kecil ini mula menarik sorotan mata dunia terhadapnya.

Hidup ini bukan tentang kita tetapi tentang Allah.

Kisah-kisah ini bukan untuk menampakkan sisi lemah seorang ibu tetapi semangat juang itu adalah bukti bahawa hanya Allah yang memampukan kami lalui ujian seperti ini. 

Kami letak harga diri ini dengan Allah, semuanya kerana Allah, mudah-mudahan ia menjadi ketenangan buat kami sehingga nafas terhenti.

Teruskan berdoa buat Adik Zara, semoga keadilan berpihak padanya.

#mommycathomey

#faithfamilyfeline

#kuatkeranaCinta

#satuharisatulangkah

#MIQ

#strongerwithfaith

#bicaraMCH


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading