Creating a life we love ~ FaithFamilyFeline

Ummi ambil masa untuk menulis tentang ini. Tak mampu rasanya mengatur ayat ketika hati sudah luluh dengan air mata yang merembah jatuh.

Kali ini, ummi tidak lagi memujuk hati sendiri. Kalau mahu terus gugur, gugurlah. Ummi tidak akan menahan. Ia bukan air mata duka tetapi bahagia.

Coretan ini agak panjang dan ummi usaha menyusunnya sebaik mungkin.

Ummi pasti ramai yang tahu atau terbaca kisah adik Iman Balqis binti Che Lokman yang pergi dalam tidurnya tanggal awal pagi Jumaat 9.5.2025.

Gadis manja dan baik budi ini adalah pelajar semester 6 Kolej Profesional MARA Bandar Penawar, Johor. Tiada sakit. Tiada cedera atau luka. Tiada curiga. Hanya kematian biasa yang sudah ditentukan tempoh dan masanya. 

Kawan-kawan satu bilik asrama terkejut dengan realiti itu apatah lagi ibu ayahnya yang menerima panggilan ketika mahu ke tempat kerja. Ummi dapat bayangkan kekalutan itu kerana begitulah ummi dan ayah saat dimaklumkan keadaan Qayyim. Kami hanya dapat menatap sekujur jasad zuriat kami yang sudah tiada nyawa lagi. Walau dipeluk, dirangkul atau ditepuk, Qayyim seperti dalam tidur yang tidak mahu dikejutkan. Lena yang sungguh-sungguh lena.

Ummi turut mengikuti penulisan ibu Iman di fb kerana ummi juga begitu. Menulis agar tidak lupa. Apa yang beliau lalui dan rasai adalah sama seperti yang pernah ummi tempuhi sebelum ini. Bila anak dipanggil pulang ke sisi Ilahi dalam keadaan kami sebagai ibu ayah tidak menjangka, sesungguhnya itu satu kegoncangan jiwa yang sangat hebat. 

Mahu menerima ia terasa pedih. Mahu menolak ia sudah takdir. Dan demi satu redha yang lebih luas, kami yang lemah ini sangat redha terhadap anak-anak kami agar mereka sentiasa dirahmati meskipun telah tiada. Kami pasrah melalui perjalanan hidup kami hingga hari tua tanpa mereka.

Anak ummi Qayyim, pergi 3 bulan selepas ulangtahunnya yang ke-24 manakala Iman Balqis pula 3 bulan sebelum usianya menginjak 20 tahun. Anak-anak kami masih muda. Sihat. Cerdas. Masih belajar. Masih sedang berjuang membina diri untuk satu kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

Dan satu persamaan yang mengikat ummi dan ibu Iman adalah, anak-anak kami ini anak tunggal. Satu-satunya anak yang kami miliki. Yang kami bayangkan bakal menyambung legasi. Di situlah tumpah segala cinta dan kasih. Di situlah tertumpu segala usaha dan lelah. 

Ukhwah kami terjalin ketika hati masih gundah. Kami hanya bertegur sapa di fb lewat coretan masing-masing. Sehinggalah penulisan di fb Y.B. Tuan Nushi Mahfodz, ADUN Semenyih, barulah ummi tahu bahawa ummi dan ibu Iman tinggal dalam satu kawasan cuma berbeza taman. YB yang mesra kami panggil Ustaz Nushi pernah juga ziarah ummi dan keluarga selepas pemergian Qayyim. 

Petang semalam, Jumaat 24.10.2025, ummi terima mesej daripada ibu Iman Balqis. Rupa-rupanya ibu dan ayah Iman sudi luangkan masa ziarah kubur Qayyim. Tanpa makluman apa-apa kecuali video dan gambar yang memaklumkan kehadiran mereka berdua.

Saat ayah Iman menyebut nama penuh Qayyim, ummi terduduk terus menangis. Rasa terhutang budi dengan kebaikan ibu dan ayah Iman. Kami bukannya saling kenal tapi saling mengingat. Gigihnya mereka mencari sehingga ketemu pusara anak ummi.

Berbahagialah Muhammad Izz Qayyim kerana kamu didoakan oleh orang yang baik-baik, yang hatinya juga sedang diuji seperti ummi dan ayahmu. Semoga doa-doa mereka Allah terima dan dikembalikan kebaikan yang lebih banyak buat ibu dan ayah Iman Balqis. 

Malah, semalam juga adalah ulangtahun kelahiran ayah Iman. Memang berat perasaan itu bila tarikh-tarikh penting akan dilalui tanpa anak-anak. Namun, doa tulus daripada kami semoga Allah memberkati usia ayah Iman, dikurniakan kekuatan hati dan terus kuat bersama ibu Iman.

Itulah yang ummi belajar sepanjang tempoh pemergian anak ummi ini.

Ikhlas dan jujur itu umpama semut hitam yang merayap di dalam gelap. Tidak nampak tapi dinikmati. Ia sampai jauh ke jeluk hati yang ditentukan untuk merasainya.

Iman Balqis sudah menjadi anak ummi, sama seperti Aiman. Semoga Allah rezekikan ummi untuk ziarah kubur Iman di Terengganu satu hari nanti.

InshaAllah.

#mommycathomey

#faithfamilyfeline

#strongerwithfaith

#kuatkeranacinta

#anaklelakiummiayah

#muhammadizzqayyimbinismail


Comments

Leave a Reply

Discover more from mommycathomey

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading